Apabila kita sendiri di uji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingati manusia.......

Tuesday, August 28, 2012

Cukup Hanya Sekali


Assalamualaikum.....

Ustaz Pahrol Juoi merupakan ustaz yang sangat saya gemari. Saya berminat dengan setiap penulisannya. Penulisannya penuh ilmu, penuh pengertian dan membuatkan saya banyak berfikir dari sudut yang berbeza. Setiap bukunya saya perolehi dan setiap penulisan di blognya saya ikuti.....

Dari penulisan-penulisannya saya mendapat kekuatan dan semangat bagi meneruskan kehidupan dengan ujian yang melanda.....

Penulisannya banyak menyedarkan saya akan kekhilafan saya selama ini..... 

Dibawah ini saya sertakan antara penulisan beliau yang memberi kesedaran kepada saya....

Marilah sama-sama kita hayatinya........


 

CUKUP HANYA SEKALI!


"Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik.... didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat, tetapi 'siapa kita' ketika melihatnya. "Apabila saya meletakkan kata-kata ini dalam FB saya, ada yang bertanya samada secara telus atau melalui sms, bagaimana jika kita sudah dianiaya oleh orang yang sama berulangkali. Patutkan kita terus berbaik sangka kepadanya?

Soalan yang sukar dijawab jika diserahkan kepada akal dan rasa hati untuk menilainya. Maklum sahaja, akal dan rasa hati kita masih tidak kebal daripada bujukan nafsu dan tipu daya syaitan. Kita manusia biasa, banyak kelemahan dan kekurangan. Namun, kekurangan dan kelemahan itu pun hakikatnya suatu kelebihan dan kekuatan jika kita mahu belajar dan mengambil iktibar daripadanya.

Tidak ada jalan keluar, melainkan kita pasrah berdoa dengan memohon taufik dan hidayah Allah selalu. Agar Allah pandu dan pacu hati kita ke arah kebenaran. Dan jika tersalah juga, mudah-mudahan Allah buka pintu hati kita untuk bertaubat. Kita mesti bergaul dengan manusia yang berbagai ragamnya ini. Kita mesti sabar dengan karenah mereka sepertimana mereka pun bersabar dengan karenah kita.

Jalan-jalan menuju keredhaan Tuhan meliuk lentuk di celah-celah simpang siur karenah insan. Maafkan mereka, jika ingin keampunan Allah. Bantulah mereka, jika ingin bantuan Allah. Hubungan antara sesema manusia itulah medan bagi Allah mendidik sifat sabar, pemaaf, pemurah, redha, sangka baik dalam diri hamba-hambaNya yang soleh. Untuk akrab denganNya, Tuhan menguji kita melalui hamba-hambaNya.

Pegang prinsip ini selalu.... jangan cuma melihat 'gerakan' tetapi lihatlah pada 'Penggeraknya'. InsyaAllah, jika itu yang tersemat di hati, akan redalah sedikit kemarahan, akan teduh sementara jiwa yang bergoncang. Jika kita sudah sayang kepada Pencipta, tentu kita akan sayang segala ciptaanNya. Majnun akan terasa indah, sekalipun hanya dengan melihat bumbung rumah Laila. Dia tahu, Laila kekasihnya sedang berada di bawah bumbung itu....

Salam buat semua yang berada di akhir Ramadan ini. Semoga kita terus bersama Roh Ramadan yang sentiasa menyala di hati kita buat menyuluh seluruh dan sepenuh kehidupan dunia yang penuh ujian ini. Dalam kegelapan fitnah akhir zaman kita mengharapkan akan sentiasa ada 'Lailatul Qadar' yang membawa sinar iman dan taqwa di hati kita. Biarlah zaman gelap, jangan digelapkan lagioleh dosa-dosa kita. Biarlah malam-malam kita.... sentiasa ditemani oleh iman kepada 'Pencipta Lailatul Qadar' itu. Jika demikian, Ya Allah.....setiap malam adalah Malam Al Qadar!

Untuk mereka yang bertanya, ku gagahi jua menulis, cuma sekadarnya.....

CUKUP HANYA SEKALI

"Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik.... didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting, bukan siapa yang kita lihat tetapi 'siapa kita' ketika melihatnya!" Maksudnya, kita akan menilai seseorang dengan fikiran, hati dan perasaan kita. InsyaAllah, jika kita dapat melihat sisi baik pada diri seseorang, itu petanda fikiran, hati dan perasaan kita juga baik. Syukurlah. Namun, jika sebaliknya, berhati-hatilah... itu petunjuk akan kejahatan diri kita bukan orang yang kita lihat.

Begitulah dalam hidup ini, kita mesti memulakan kebikan daripada diri kita sendiri. Caranya? Bermula dengan sangka baik. Lihat yang baik-baik. InsyaAllah, lama-kelamaan kita akan jadi baik dan mendapat kebaikan. Pernah diceritakan bagaimana pada suatu ketika Nabi Isa AS melalui seekor bangkai kambing bersama-sama para pengikutnya. Ketika para pengikutnya, memalingkan muka dan menutup hidung kerana jijik dan terhidu bau busuk, Nabi Isa sebaliknya berkata, "aku lihat bangkai kambing ini mempunyai gigi yang putih."

Mengapa penting kita bersangka baik dalam hidup? Ini kerana itu akan menentukan bagaimana kita melihat atau menilai sesuatu perkara, seseorang atau kejadian. Dan bagaimana kita melihat akan sesuatu atau seseorang, akan menentukan apa yang akan kita dapat daripadanya. Ungkapan terkenal dalam bahasa Inggeris, "what you see, is what you get - apa yang kita lihat, itu yang akan kita dapat."

Jika kita ingin kebaikan dalam interaksi dan komunikasi daripada seseorang, bermulalah dengan bersangka baik kepadanya. Mana mungkin kita akan mendapat apa yang baik-baik daripadanya jika kita mula dan terus bersangka buruk kepadanya. Jangan 'menghukum'nya awal-awal lagi. Itulah prejudis. Satu sikap yang negatif yang merosakkan perhubungan yang baru bermula atau yang telah lama terjalin. Tidak sewajarnya kita merasa tidak suka akan seseorang tanpa asas yang kukuh dan jelas.

Orang yang sibuk 'menghukum' tidak akan sempat memberi kasih sayang. Begitulah yang pernah diungkapkan oleh orang yang bijak pandai. Kekadang, belum pun mula berkenalan, apalagi bercakap-cakap... baru melihat wajahnya sahaja, terus hati terdetik akan keburukan dan kelemahannya. Acapkali kita menghukum orang lain dengan 'fail' lama, sedangkan mungkin dia telah berubah. Mahukah kita kalau dihukum dengan kesalahan yang kita telah perbaiki berkali-kali?

Ya Allah, jahatnya hati kita. Siapa kita? Hamba, tuan atau Tuhan? Dengan ilmu dan maklumat yang sangat terbatas, kita berani melampaui batas seorang hamba Allah, yang kaya dengan kelemah dan kejahilan. Tuhan Yang Maha Sempurna itupun tidak kejam. Allah Maha Adil, Maha Sayang.... sentiasa membuka ruang untuk hambaNya memperbaiki diri dan membuka 'fail' baru. Bukankah selepas Ramadan yang Mubarak, Haji yang Mabrur.... seseorang dijanjikan bersih dari segala dosanya yang lampau lalu menjadikannya seperti seorang bayi yang baru dilahirkan?

Justeru, Allah SWT dengan tegas melarang kita bersangka buruk sesama manusia. Dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 12, Allah menyebut tentang prasangka, yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa."

Ada orang yang sering mengeluh, malah mengutuk nasib dirinya yang malang. "Mengapa yang buruk-buruk, sedih, gagal dan malang sering menimpa hidupku?" Lalu sibuklah dia menyalahkan sipolan dan sipolan, itu dan ini... semuanya tidak kena. Padahal, yang tidak kena itu acap kali dirinya sendiri. Dia yang memandang gelap, buruk dan busuk dalam hidup... lalu dia terpaksa menuai apa yang disemai!

Saya teringat suatu cerita lucu bagaimana seorang perompak yang telah merompak sebuah rumah. Kejadian ini disedari oleh tuan punya rumah yang tidur di tingkat atas. Walaupun begitu, dia tidak berani melawan kerana perompak itu bersenjata. Cuma sebelum perompak itu keluar dengan barang-barang rompakannya, tuan rumah berkata, "sebelum kamu pergi jenguklah isteri saya yang berada di tingkat atas.... dia telah menunggu kamu selama 15 tahun."

Apa maksudnya lelaki itu? Maksud lelaki itu, selama 15 tahun isterinya dalam keadaan bimbang, takut dan sentiasa bersangka buruk yang rumah mereka akan dirompak. Dan kali ini apa yang disangkanya itu telah benar-benar terjadi. Ya, walaupun itu sekadar sebuah cerita... tetapi realitinya memang berlaku dalam hidup ini.

Allah mengingatkan kita melalui sebuah hadis Qudsi: "Aku bertindak sebagaimana sangkaan Hamba-Ku. Dan Aku akan selalu bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku di dalam dirinya,, Aku mengingatinya dalam diriku. Apabila dia mengingatiku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk)."

Namun, perlu diingat bahawa sangka baik perlu diimbangi oleh sikap berhati-hati. Sepertimana perlunya bersangka baik, begitulah kita perlu berhati-hati. Jangan lurus bendul. Kita mesti bijak agar sifat sangka baik itu tidak dieksploitasi dan dimanipulasi oleh musuh atau orang yang berkepentingan. Apa itu sikap berhati-hati? Itulah usaha kita mencari fakta, dalil, ilmu dan bukti yang berkaitan dengan seseorang, sesuatu perkara atau peristiwa.

Sikap berhati-hati juga dibina oleh pengalaman. Apabila ilmu, fakta, dalil dan pengalaman bergabung maka terbinalah sikap matang dalam bersangka baik. Kita bersangka baik, tetapi tidak mudah untuk ditipu dan dikhianati. Sikap berhati-hati dan belajar daripada pengalaman ini sangat penting agar sikap bersangka baik kita tidak diputar-belitkan, dikhianati dan diperalatkan oleh orang yang berniat jahat.

Jika kita berdepan dengan seseorang yang sudah punya rekod buruk, reputasi negatif serta kita pernah mengalami pengalaman-pengalaman yang pahit akibat angkaranya, jangan bersangka buruk.... tetapi berhati-hati. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Berilah peluang untuk dia dipercayai, dan pada kita sendiri untuk mempercayainya... namun jangan jatuh dalam 'lubang' yang sama dua kali atau berkali-kali. Ingatlah pesan Nabi : Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali!"
15OGO

Hikmah poligami?





POLIGAMI......

Merupakan satu isu yang boleh mendatangkan persepsi negatif terutamanya di kalangan masyarakat kita....
Poligami disinonimkan dengan penzaliman dan penganiayaan..dan tidak semua mampu menerima poligami dalam kehidupannya...

Sejak kecil lagi, dalam fikiran saya telah di tanamkan dengan keburukan poligami oleh orang-orang disekeliling saya.Bukan sekadar percakapan, cukup dengan contoh sekali di kalangan saudara-saudara saya yang berpoligami. Namun, persepsi itu berubah bila saya melanjutkan pelajaran di sebuah pusat pengajian tinggi. Pada saya, tiada salahnya seorang lelaki berkahwin lebih lebih-lebih lagi seandainya suami memerlukannya dengan alasan yang boleh diterima. Pandangan saya pada masa ini lebih kepada rasional dan tidak melibatkan sebarang emosi. Mungkin kerana saya tidak pernah rasa perasaan menyayangi, disayangi atau jatuh cinta pada insan bernama lelaki.

Namun, telah ditakdirkan semasa tahun akhir saya di pusat pengajian, saya jatuh cinta dan kami berkahwin setelah masing-masing menamatkan pengajian.Walaupun usia kami muda, kami yakin bahawa kami boleh menjadi suami isteri yang soleh dan solehah dan mengharungi ujian rumahtangga. Pada masa ini, rasa cinta saya kepada suami sangat tinggi. Pandangan saya tentang poligami serta merta berubah. Saya mula merasakan bahawa saya tidak sanggup untuk berkongsi kasih sayang suami saya dengan orang lain. Saya tidak mahu suami saya menyayangi insan lain selain saya.... Saya hanya ingin suami saya menjadi hak milik saya seorang! Saya terlalu menyayangi suami saya....

Pelik kan? Di mana pendirian saya tentang poligami dulu? Dimana hilangnya rasionalnya poligami pada saya dahulu? Kenapa tiba-tiba pendirian saya boleh berubah? Adakah kerana saya sudah merasa kenikmatan cinta?

Seringkali juga hati saya tertanya-tanya, bagaimanakah seandainya saya dimadukan? Sanggupkah untuk saya menerimanya? Mampukah untuk saya menjalani kehidupan bermadu dan berkongsi kasih? Terlalu menyakitkan bila difikir-fikirkan................

Hari ini, saya terbaca satu petikan tentang seorang wanita yang rela dimadukan. Wanita ini menggunakan perkataan 'rezeki' kepada apa yang telah dia alami. Ternyata dia seorang yang tabah dalam menerima takdir dariNya....

Antara dialog antara wanita tersebut bersama seorang ustaz dalam petikan tersebut yang saya sukai adalah ................

"Saya terasa kehilangan, ustaz".........

"Inilah hikmah besar poligami, puan. Supaya cinta kita kukuh dan teguh meletakkan cinta pertama dan utama kita kepada Allah. Ini jalan yang ditakdirkan untuk puan agar lebih akrab dengan Allah. Kadangkala, kehilangan akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga".

"Adakah saya akan kehilangan cinta suami saya?"

"Tidak. Dengan mencintai Allah, puan akan lebih mencintai kerana Allah dan dicintai oleh orang yang mencintai Allah. Doakan agar suami puan mencintai Allah."

"Saya tidak pandai ustaz.. Saya bukan ustazah. Saya hanya seorang suri rumah biasa. Tapi, saya terus belajar dan mendengar. Saya 'pelajar' yang sedang bermujahadah."

" Terkadang, datang juga rasa cemburu..... bagaimana ya, ustaz?"

"Cemburu itu fitrah. Itu tanda adanya cinta. Selagi dalam batas-batas syariat, selagi itulah cemburu itu selamat. Puan punya banyak masa, sekarang?"

"Begitulah ustaz. Ketika bukan giliran saya, saya ada banyak masa untuk melaksanakan amalan-amalan sunat serta membaca al-Quran dan buku-buku yang ditangguhkan pembacaannya sejak dahulu."

"Itulah hikmahnya. Ada masa untuk membina dan memperbaiki diri sendiri kerana walau bagaimana baik sekalipun pendidikan yang diberikan suami, isteri tetap perlu mendidik dirinya sendiri. Sebagaimana perkahwinan pertama dulu diuji, begitulah perkahwinan kedua ini, pasti diuji. Iman itu bahagia. Iman itu diuji. Justeru, bahagia itu hadir apabila diuji."

"InsyaAllah, ustaz... doakan saya tabah. Bukankah selalu ustaz berpesan, jangan minta hidup yang mudah tapi mintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!"

Maha Suci Mu Ya Allah......

Bila diselami antara saya dan wanita tersebut, saya terasa sungguh kerdil. Betapa redho dan tabah hatinya dalam mencari cinta Allah....Bagaimana pula dengan cinta kita? Adakah cinta kita kepada Allah sebesar cinta  Allah kepada kita? Atau, adakah cinta kita kepada suami melebihi cinta kita kepada Allah? Kini, pandangan saya telah berubah kembali. Saya mula dapat menerima poligami dalam hidup saya. Cinta Allah adalah cinta Utama.... bukan cinta suami...... Itulah kunci segala-galanya.

Seperti kata ustaz di dalam petikan itu, cinta Allah itu diraih dengan mujahadah. Jangan cepat mendakwa kita bahagia, jika usia baru memasuki tahun kelima, keenam atau kurang daripada itu......

Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh ayat-ayat al-Quran dan hadis. Ataupun sajak dan ungkapan yang indah serta puitis. Tapi, tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan perasaan dan sikap memberi yang tiada batasan. Jangan mengaku beriman jika belum diuji. Jangan mendakwa bahagia jika belum banyak menderita kerana bahagia itu ditempa oleh derita.

Seandainya saya ditakdirkan diuji dengan suami berpoligami........ tabahkan dan redhokanlah hati ini Ya Allah. Bantulah hati ini untuk memahami, menghayati dan merasai keindahan takdirMu..... Jadikanlah aku hamba yang sebenar-benar hamba yakni yang pasrah dan menyerah hanya kepada Mu seluruh dan sepenuhnya......... Amin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...