Apabila kita sendiri di uji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingati manusia.......

Tuesday, February 22, 2011

Isn, 21 Feb 2011 17:42 | Hariz Khair Ad-Deen | Editor: mawaryangtinggi
0
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Memang.
Rasa lemah itu kadangkala menyapa diri.
Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.
Terkadang, cukup satu ujian yang menerpa. Namun, beratnya sudah cukup membuat kita hilang arah.
Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.
Namun, kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita. Tenaga yang masih bersisa hilang entah ke mana, lantaran harapan buat hari esok yang semacam tiada.
Lalu, masihkah ada sinar harapan buat kita bangkit kembali?
Bagaimana kita menyingkapinya?
Saya percaya, menyuruh orang bersabar tatkala diuji itu jauh lebih mudah, berbanding diri sendiri yang menghadapinya.
Benar. Memang tidak dapat dinafikan. Saya pun pernah berada dalam kondisi itu. Di kala, kata-kata motivasi yang kita sering laung-laungkan kepada orang lain juga ada masanya seakan tidak punya kesan terhadap diri. Keyakinan yang selama kita ini kita pegang pun mampu tergoyah kembali.
Maka di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr.
Seringkali, kata-kata tulus mereka itu jualah yang menyembuhkan semangat diri.
Namun bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam konteks diri kita sendiri, bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu. Bagaimanakah caranya untuk kita memotivasikan diri sendiri?
Ok. Perkara ini kita perlu faham dengan jelas, supaya tatkala kita diuji nanti mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu membangkitkan kita kembali.
Mulakanlah dengan bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.
Bersangka baiklah.
Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia. Pasti punya hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." - [Surah Al-Baqarah, 2: 216]
Kemudian, sertai kepositifan tadi (bersangka baik) dengan bersabar. Inallaha ma'as sobirin. Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar.
Sabar.
Dan kelak, kesabaranmu itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat. Agar kemudiannya kau dapat merenung kembali hikmah yang Dia susunkan itu, sambil dirimu tersenyum.
Kesilapan kita.
Ada masa kita silap.
Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.
Terkadang, kita rasakan bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.
Tidak. Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari.
Namun, kita sering lupa bahawa hakikatnya, kita ini hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan kekurangan. Mampukah kita menanggung semua ujian itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?
"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah." - [Surah An-Nisa', 4: 32]
Ya. Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri dengan sendirinya; jika tidak dia memperoleh kekuatan itu dari Allah.
Bukankah ujian itu datangnya dari Allah? Maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?
Namun, silapnya pada kita.
Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh memohon pertolonganNya.
Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna. Kuat, berkuasa.
Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya jika Dia tidak mengizinkannya.
Wujudnya saat muhasabah.
Manusia jarang sekali mahu bermuhasabah diri. Tatkala disentap dengan ujian yang berat barulah wujud saat mereka kembali berfikir apakah salah silap mereka selama ini. Itupun jikalau mereka sedar.
Maka, salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya masa kita untuk bermuhasabah.
Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa.
Adakah kita masih berada pada landasan yang benar?
Hikmah dari muhasabah ini akan membawa kita melihat dan memikirkan pula hikmah-hikmah yang lain dari ujian tadi.
Baik.
Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada kita melaluinya?
Manusia itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi nikmat. Namun, tatkala kita diuji dengan sedemikian rupa, barulah kita bersegara kembali mencariNya. Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar dipermudahkan segala kesulitan yang ada. Sedang selama ini, hendak mengingatiNya sebentar pun terasa berat. Astagfirullah, hamba jenis apakah kita ini?
"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdo'a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan." - [Surah Yunus, 10: 12]
Maka, di situ punya hikmah untuk sama-sama kita renungkan.
Bersangka baiklah kepada Allah atas ujian yang menimpa kita.
Dia mahu kita kembali kepadaNya.
Dia mahu kita selamat di 'sana'.
Dia mahu kita merenung sebentar dan bermuhasabah kembali.
Sekarang, jawab dengan hati kita. . .
Benarkah selama ini kita telah meletakkan Dia sebagai matlamat hidup kita?
Atau tanpa sedar kita meletakkan perkara-perkara lain (nikmat-nikmat yang Dia tarik itu mungkin) sebagai tujuan hidup yang mesti kita capai?
Benarkah kita telah meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepadaNya?
Atau mungkin, kita meletakkan pergantungan kita kepada 'tuhan-tuhan' lain (manusia-manusia lain atau diri sendiri) lebih, berbanding Dia Yang Maha Sempurna?
Moga-moga, hati-hati yang bersih itu mampu memberikan jawapan yang jujur.
Kerana saya yakin, pasti semua tahu, bahawa apabila kita sudah mengakui Allah itu sebagai Tuhan kita, seharusnya hanya Dialah yang menjadi matlamat utama hidup kita. Dan hanya kepadaNya jualah tempat kita bergantung segala.
Dan perkara-perkara lain yang 'terkorban' (ketika diuji) itu, tidak lain hanyalah salah satu kurnia dariNya dan juga sebagai ujian pembuktian keimanan manusia.
Seharusnya ia tidak mampu menggoyah matlamat hidup serta keyakinan kita.
Selama ini, adakah itu cara kita melihat?
Penutup: Kembali sedar matlamat dan peranan hidup
Kembalilah menapak bersama matlamat dan hala tuju yang jelas.
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepadaKu." - [Surah Ad-Dzariyat, 51: 56]
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata, 'Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?' Dia berfirman, 'Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.'" - [Surah Al-Baqarah, 2: 30]
Manusia itu seharusnya sedar, bahawa tujuan dia tercipta di muka bumi ini adalah untuk menghambakan diri kepadaNya (melaksanakan tanggungjawab dan perintahNya, serta meninggalkan laranganNya).
Manusia itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia mainkan di muka bumi ini ialah sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka bumi, serta membawa manusia kembali kepada Allah, satu-satunya 'Illah' (Tuhan) seluruh semesta.
Setelah kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi mendasar, semua permasalahan tadi pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.
Wajar sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana itu merupakan lumrah seorang manusia. Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa kecewa dan berputus asa. Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan kesedihan yang dirasa.
Ya. Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala.
Memperhambakan diri kepadaNya merupakan tujuan hidup kita.
Dan pasti, Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya.
Jika kita sudah sedar akan perkara ini, maknanya, hikmah dari ujian itu seharusnya sudah nampak. Kebangkitan yang ditunggukan-tunggukan itu juga seharusnya sudah dimulakan langkahnya.
Wahai diri,
Kali ini. . .
Letakkan Dia 'bersama' ketika kamu menapak.
Dan pasti, jalan penyelesaian itu akan mula kelihatan.
" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - [Surah At-Talaq, 65: 2-3]


Sunday, February 20, 2011

Doa seorang suami.......



SETIA SEORANG ISTERI 

DI SEBALIK REDUP MATAMU
TERSIMPAN SATU RAHSIA
YANG TERBUKU DI RUANGAN HATIMU
DI SEBALIK SENYUMANMU
TERSIRAT SIMPULAN DERITANYA
HANYA TUHAN YANG TAHU

KAU SETIA MENANTI
KAU SETIA MENGHARUNGI
BIARPUN RIBUT BADAI MELANDA
KAU TEGUH BERDIRI
WALAU DERAS ANGIN MENDERU
KAU TETAP DI SISI

KU DOAKAN AGAR KAU KAN BAHGIA
KU DOAKAN AGAR TIADA LAGI DERITA
MOGA TUHAN KAN MERAHMATIMU
DI SYURGA YANG SELAYAKNYA....... OH......

DI SEBALIK REDUP MATAMU
TERSIMPAN SATU RAHSIA
YANG TERBUKU DI RUANGAN HATIMU
DI SEBALIK SENYUMANMU
TERSIRAT SIMPULAN DERITANYA
HANYA KAU YANG TAHU

SETIAMU KU HARGAI
KAULAH ISTERI YANG KU SANJUNGI
KERANA KAULAH BIDADARI
YANG BERSEMI DI HATI

KU DOAKAN AGAR KAU KAN BAHGIA
KU DOAKAN AGAR TIADA LAGI DERITA
MOGA TUHAN KAN MERAHMATIMU
DI SYURGA YANG SELAYAKNYA
KU DOAKAN AGAR KAU KAN BAHGIA
KU DOAKAN AGAR TIADA LAGI DERITA
MOGA TUHAN KAN MERAHMATIMU
DI SYURGA YANG SELAYAKNYA
UNTUK SEORANG ISTERI YANG SETIA....
 
- Inilah yang didambakan oleh seorang isteri yang setia dan solehah kepada suaminya.....

Bagaimana jika Allah mencintai kita?

alt
Lazimnya andai kita mencintai atau merindui seseorang, kita mempunyai keinginan untuk memberitahu orang lain. Seboleh-bolehnya biar semua orang tahu bahawa kita sedang mencintainya.
Hati merasa bahagia andai perasaan itu dapat dikongsikan bersama.

Melalui jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter, kita dapat membaca pelbagai luahan mereka yang sedang bercinta. Antaranya:

"Saya sayang abang."
"Saya rindu ibu."
"Saya cinta kamu semua."

Agaknya, bagaimana pula jika Allah mencintai seseorang?

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: "Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!"
 Maka Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit dan berkata:

"Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia." Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya.
Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini." (Hadis Riwayat Bukhari)
MasyaAllah! Lihatlah cinta Allah..Sungguh luar biasa hebat..
Ketika Allah mencintai seseorang, Allah yang Maha Agung tidak cukup dengan hanya mengatakan "Aku cinta si dia!"
Tetapi Allah memaklumkan kepada seluruh makhluk-Nya.
Apa kata Allah dalam hadis tersebut?
"Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!"
Maka Jibril pun membuat pengumuman :
"Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia."
Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini.
Oh Ar-Rahman Ar-Rahim, bahagianya mereka yang benar-benar dicintai Allah. Pasti hidup mereka sentiasa tenang dan diberkati.
Bayangkan jika semua pembaca iLuvislam.com disayangi Allah SWT. Pasti dunia ini dipenuhi dengan kebahagiaan.
Tidakkah kita mahu menjadi seorang yang benar-benar dicintai Allah?

Namun, selama ini, cinta siapa yang kita kejar?
-

















Ternyata, selama ini kita mengejar hanya cinta sesama makhluk. Sedangkan makhluk itu tidak dapat memberi atau memenuhi semua kehendak kita. Sedangkan makhluk itu jugalah yang sering menyakiti hati kita.
- Sesungguhnya, cinta kepada Allahlah yang akan kekal, yang membahagiakan, yang akan sentiasa memberi ketenangan, dan yang akan memberi kita kebaikan di dunia dan akhirat.

Marilah kita bersama-sama mencari cinta ILAHI.

Saturday, February 19, 2011

BAHAYA BERANGAN-ANGAN PANJANG

       Setiap dari kita selalu berangan-angan. Kalau kita miskin, kita akan berangan-angan hendak menjadi kaya. Kalau  kita jahil, kita berangan-angan hendak menjadi orang bijak. Kalau kita orang bawahan, sudah tentu kita akan berangan-angan hendak menjadi orang ternama. Begitulah selalunya.....



      Angan-angan ini sesuatu yang menjelma dari hati kita yang semua itu adalah keinginan manusia. Memang benar, tidak dinafikan kadang-kadang angan-angan kita terlalu panjang sehingga melewati batas-batas syariat. Sehingga terlupa kehidupan akhirat dan kewajipan agama. Kepada orang yang sering berangan-angan panjang seperti ingin hidup lama adalah tercela dalam agama Islam. Ini adalah sifat yang didorong oleh hati yang cinta kepada dunia. Perlu diingat, angan-angan ini berbeza dengan cita-cita. Sungguhpun dalam penggunaannya kadang-kadang ia bermaksud sama. Sebenarnya, angan-angan lebih merupakan satu keinginan yang tidak kesampaian. Lain pula dengan cita-cita kerana cita-cita berkemungkinan boleh dicapai atau dihasilkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

      Angan-angan panjang ini tidak perlu kita miliki malah ajaran agama Islam menyifatkannya adalah amalan yang dikeji. Rasulullah SAW jga telah mengingatkan kita dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:

" Sesungguhnya hal-hal yang paling aku takutkan mengena kamu semua ialah dua perkara yakni mengikut hawa nafsu dan panjang angan-angan. Mengikut hawa nafsu itu dapat menutup dari kebenaran dan panjang angan-angan itu menyebabkan cinta kepada dunia."

                                  (Hadis riwayat Ibnu Abiddusya)

         Boleh dikatakan ramai umat Islam menghidapi penyakit ini. Buktinya, bila hari tua barulah hendak beramal dan bertaubat. Kita dapat lihat di masjid dan di surau sama ada majlis ilmu atau sembahyang jemaah adalah ramai orang-orang tua. kerana mereka tahu ajal hampir sampai. Tetapi, ketika muda, segala amal ditinggalkan dan diabaikan keranan angan-angannya panjang. Mereka merasakan hidup sampai ke tua. Hakikatnya, ketika usia muda, tenaga masih kuat telah ramai yang menemui ajal. Mengapa ini tidak menjadi renungan kita bersama supaya angan-angan kita menjadi pendek?

        Kita telah sedia maklum betapa azab yang akan menimpa apabila hati kita yang telah cenderung kepada dunia. Kita akan langgar syariat Allah s.w.t. Segala usaha dan amalan tidak lagi didasarkan kepada syariat tetapi logik semata-mata. Oleh yang demikian, hendaklah kita selalu mengingati mati kerana hanya itu sahaja penawar bagi diri orang-orang yang mahu berfikir.

       Dengan jalan demikian, kita akan terhindar dari sifat yang tercela itu dan wujudlah dalam diri kita suatu kebenaran untuk beramal, berjuang dan berkorban ketika ajal belum datang menjemput. Menyegeralah kita dalam kebaikan kepada Allah s.w.t dan sesama manusia dalam meminta kehidupan di akhirat.


BERSABARLAH


Bersabarlah dan bertawakallah
Dalam kehidupan ini
Sesuatu yang terjadi itu
Tentu ada hikmahnya

Penderitaan yang engkau alami..
Hanya suatu dugaan
Dan janganlah kau bersedih hati
Tuhan Maha Penyayang

     Begitulah sedikit daripada lirik lagu BERSABARLAH dari kumpulah Warisan. Setiap daripada kita, mesti ditimpakan ujian oleh Nya........ Samaada sabar ataupun tidak dalam menghadapi ujian Allah ini, bergantung pada kekuatan jiwa dan iman kita kepada Nya. Sekiranya kita ditimpa ujian, bersabarlah kerana Allah pasti akan menunjukkan jalan keluarnya.
     Duduklah dengan tenang dan khusyuk selepas sembahyang selagi dalam keadaan mengadap kiblat. Tidak perlu terlalu lama, mamadailah sekitar sepuluh atau lima belas minit. Setelah berzikir, berdoalah pada Allah, meminta agar dikurniakan hari yang indah, baik dan penuh berkat.
      Mohonlah pada Allah agar menjadikan hari itu merupakan hari yang bahagia, penuh keberhasilan, peningkatan dan kejayaan buat anda. Jauh dari sebarang dosa, tekanan dan masalah-masalah yang seumpamanya. Hari di mana rezeki bak air sungai yang mengalir, rezeki penuh kebaikan, bebas dari masalah hidup, terhindar dari kesedihan dan jauh dari kecemasan.
     Mohonlah kebahagiaan dari Allah, begitu juga rezeki dan ketenangan hidup. Hanya dari Allahlah kebaikan itu datang, dan kepada Nyalah ia sepatutnya dipinta. kebiasaan duduk yang sebentar ini akan menjadi senjata yang ampuh bagimu untuk menghadapi sebarang persoalan yang datang dan yang berlaku pada hari itu.
       Selain itu, kita hendaklah sentiasa khusuk dan menghayati terutamanya sewaktu membaca atau mendengar bacaan Al-Quran. Ini kerana ia boleh melenyapkan kekeruhan dan keraguan dalam hati kita. Dengan berbuat demikian, insya Allah kita akan dapat merasakan keadaan yang lebih tenang dan hati yang lebih tenteram. Tidak lupa juga, basahilah lidah kita dengan zikirullah. Ketenangan tentu akan datang kepada sesiapa yang melakukannya. Insya Allah...... (pesanan ini untuk diriku juga..... )


" JANGANLAH TERLALU MEMBERI TUMPUAN KEPADA SESUATU YANG ANDA TIDAK MUNGKIN DAPAT MELAKUKAN NYA. TAPI, ELOKLAH CUBA MEMPERBAIKI SESUATU YANG ANDA DAPAT MELAKUKANNYA."

BERCINTALAH BERKALI-KALI

Artikel yang saya ambil dalam http://gentarasa.com/ ni begitu menarik perhatian saya..... marilah kita berkongsi bersama-sama artikel ini......


           Melalui pengalaman, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan jadi semakin becok tetapi lelaki sebaliknya jadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai-selesai. Manakala lelaki yang dulunya, ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (ada kalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah.
Ya, jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin “bisu”. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata bila berdepan dengan suami. Suami apatah lagi, jika di luar rumah pun sudah semakin pendiam di dalam rumah lebih-lebih lagi. “Mati kutu” memanjang.
Pernahkah kita kehilangan kata-kata apabila bertemu dengan isteri atau suami? Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan lagi. Lalu rumah tangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Seolah-olah sudah tidak ada apa lagi yang boleh dikongsi.
Kekadang perasaan itu datang kerana kerap kali apabila suami bersuara hendak meluahkan masalah, isteri membalasnya dengan selamba. Ah, masalah aku lebih besar. Atau terdetik di hati, balik-balik yang itu juga. Bosan. Begitu juga bagi pihak suami, sudah lali mendengar “siaran ulangan” yang kerap diperdengarkan isteri. Masalah anak, masalah kesihatan, masalah wang… tidak ada cerita baru!
Ada kalanya duduknya rapat-rapat, tetapi sudah tidak bertemu lagi. Masing-masing menonton TV, dari awal rancangan hinggalah tamat siaran, tetapi tidak ada yang dibualkan. Tidak ada yang dapat dikongsikan. Boleh jadi dalam kereta, sisuami sibuk memandu, di sebelahnya isteri membisu. Muram tanpa reaksi atau respons. Mujur masih ada anak-anak yang menjadi “mediator” secara tidak rasmi, terhubung jugalah kata-kata atas apa yang ditimbulkannya. Bila anak tiada, keadaan pun menjadi sepi semula.
Oh, maaf… saya tidak bercakap tentang “orang baru” yang masih berbulan madu, ketika itu segala-galanya indah sahaja. Perkara yang kecilpun boleh menjadi topik perbualan yang berjela-jela. Sejak senja melabuh tirainya hingga terkuak mentari pagi, cerita tidak habis-habis lagi. Ini cerita orang lama. Apakah kehilangan kata-kata menunjukkan kehilangan cinta? Mana yang lebih tepat, cinta yang melahirkan kata-kata atau kata-kata yang melahirkan cinta?
Bagi saya, kedua-duanya betul dan patut dipraktikkan. Benar, sewaktu mula bercinta dahulu, cintalah yang melahirkan kata-kata, tetapi apabila cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat kita bercinta bukan hanya sekali tetapi kita perlu bercinta berkali-kali.
Apa maksudnya? Maksudnya, kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (isteri kita). Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan luahan kata-kata yang baik. Jangan membisu, jangan menjadi tuli. Sentiasa jadi lidah yang menuturkan kata-kata yang baik dan telinga yang sentiasa terbuka mendengarnya.
Kata bijak pandai, the first duty of love is to hear – tugas cinta yang pertama ialah untuk mendengar. Itu betul, tetapi jika tidak ada apa yang hendak diperkatakan apa pula yang hendak kita dengarkan? Jadi untuk menjadi pendengar, mesti ada “penuturnya”. Kata-kata yang baik umpama sedekah, kita mesti ringan mulut untuk memulakannya. Ada kalanya berdiam diri tidak terpuji, apatah lagi jika sudah ke tahap menimbulkan sangsi.
Ada orang yang petah dan becok bercakap dengan orang lain di tempat kerja, tetapi bertukar jadi pendiam di dalam keluarga sendiri. Sikap peramahnya boleh bertukar jadi pemarah bila di rumah. Marah yang tertahan itulah kekadang menimbulkan diam yang panjang. Lama-kelamaan, jika tidak diuruskan baik, marah terpendam akan menjadi dendam. Dendam itulah yang akan mewujudkan diam yang panjang!
Di dalam ilmu pengurusan komunikasi ada hukum yang dinamakan “hukum 24 jam”. Hukum ini menyatakan jangan dibiarkan krisis yang berlaku antara rakan sekerja melepasi temph 24 jam. Mesti ada di antara mereka (seelok-eloknya kedua-duanya) bertindak memecahkan kebuntuan itu dengan mengambil inisiatif menegur, memandang atau memberikan sebarang reaksi atau petunjuk ingin berbaik-baik semula.
Jangan malu alah untuk memulakan. Justeru, jika tempoh 24 jam sudah berlalu, dan tidak ada sebarang inisiatif dilakukan, maka peluang untuk berbaik-baik semula akan menjadi lebih sukar. Maka begitulah dalam sebuah rumah tangga, teguran dan percakapan yang pertama untuk mengujudkan kemesraan semula setelah lama membisu adalah sangat mahal harganya. Percayalah inilah termasuk dalam tuntutan menghubung silaturahim yang sangat besar pahalanya di sisi Islam. Dalam Islam, siapa yang memulakan langkah untuk memberi satu kebaikan sesungguhnya mendapat ganjaran yang lebih besar daripada pihak yang menerimanya. Sebab itu, orang yang datang berziarah lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang diziarahi.
Maka begitulah dalam rumah tangga. Untuk bercinta lagi, luahkanlah kata-kata yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan memadamkan dendam. Cari-carilah topik yang menarik untuk diperbualkan. Antara kaedahnya ialah:
• Berdoa untuk Allah ilhamkan kata-kata yang baik dan menarik semasa memulakan perbualan.
• Menerima dan berkongsi hobi dengan pasangan.
• Ulas apa yang anda dengar, lihat atau baca dengan pasangan serta kaitkan dengan situasi terkini dalam rumah tangga.
• Sekali-sekala masak bersama resipi kesukaannya.
• Jangan prasangka dan curiga dengan selalu memaafkan selagi pasangan tidak melanggar syariat.
• Amalkan peraturan 24 jam. Jangan biarkan “gencatan suara” melebihi masa 24 jam. Mujahadahlah untuk meminta maaf secara resmi atau tidak resmi.
• Tempoh-tempoh yang dirasakan sukar dalam perhubungan hendaklah diisi dengan amalan habluminallah seperti solat, munajat dan taubat. Jangan selesaikan masalah dengan satu masalah lain.

Pernah satu ketika seorang Sahabat memberitahu Rasulullah s.a.w. akan rasa sayangnya kepada seorang sahabatnya yang lain. Rasulullah pun bertanya semula, apakah dia telah memberitahu sahabatnya itu tentang rasa kasihnya. Sahabat itu menjawab bahawa dia belum berbuat demikian. Lantas, Rasulullah pun berkata, “Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya.”
Jika anda menyayangi seseorang, nyatakanlah. Dalam rumah tangga, seorang suami harus menyatakan kasih sayang kepada isterinya. Begitulah sebaliknya. Tetapi saya kurang setuju jika perkataan “sayang” itu diluahkan berulang-ulang. Pernah saya terdengar seorang suami memarahi isterinya dengan perkataan sayang. “Yang, dah berapa kali saya bagi tahu jangan buat macam ni. Kenapa awak degil lagi?” Begitulah herdik sisuami sambil menjegilkan mata dan meninggikan suara. Bagaimana? Apakah panggilan sayang sebegitu masih romantik lagi?
Kasih sayang ini boleh dinyatakan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Pertama, secara tindakan, kedua secara lisan. Sayang yang dilahirkan dalam bentuk tindakan itu lebih besar impaknya berbanding secara lisan. Jangan menanam tebu di mulut tetapi menyembunyikan racun di hati. Buktikan sayang, dengan perbuatan kerana cinta itu perbuatan (love is a verb) bukan perkataan. Namun, alangkah indahnya jika perbuatan yang baik diiringi juga dengan perkataan yang baik.
Sayangnya, ramai suami atau isteri telah melakukan kesilapan. Kesilapan mereka bukannya tidak menyayangi pasangan, tetapi tidak ataupun semakin kurang meluahkan rasa sayang itu dalam bentuk perbuatan ataupun kata-kata. Kita tersilap kalau beranggapan sekali bercinta, tetap cinta selamanya. Yang sebenarnya, cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat berkali-kali. Berkali-kali bercinta, baru cinta itu abadi. Bukankah bijak pandai mengingatkan bahawa satu kebaikan (termasuk cinta) perlu dimulakan berkali-kali.
Benar, setelah usia perkahwinan meningkat, kalimat-kalimat cinta seperti “I love you” atau “Saya sayangkan awak” sudah semakin kurang kedengaran. Ramai beranggapan, mereka sudah terlalu tua untuk mengucapkan kalimat-kalimat yang lazimnya diucapkan sewaktu mula-mula berkahwin dahulu. Tetapi apakah kita sudah terlalu tua untuk menyatakan cinta dalam bentuk tindakan dan percakapan?
Sebenarnya, banyak perkataan yang boleh masih boleh dipilih untuk menggantikan kalimat-kalimat romantik yang susah dirasakan malu dan segan untuk diucapkan sewaktu usia tua. Mungkin perkataan itu biasa-biasa sahaja tetapi intonasi dan bahasa badan yang mengiringinya mampu mencipta kesan yang luar biasa.
Kata-kata baik wajar diiringi oleh belaian fizikal. Katakanlah isteri kita membuat sesuatu perkara yang baik, maka kita pun membelai rambutnya atau menepuk bahunya sebagai tanda sokongan dan penghargaan. Ini adalah salah satu bentuk sentuhan fizikal yang sering diabaikan terutamanya oleh pasangan suami isteri yang berusia 40 tahun ke atas. Sedangkan, semakin bertambah usia perkahwinan, sewajarnya semakin banyak belaian fizikal yang tidak dibauri oleh keinginan seks.
Selain daripada itu, kasih sayang juga mesti dibuktikan dalam bentuk tindakan pembelaan. Katakanlah isteri menghadapi krisis dengan keluarganya atau kawan-kawan di tempat kerja, maka kita sebagai suami perlu membelanya. Membela di sini bukan bermaksud membenarkan sahaja sikap isteri walaupun kita tahu dia bersalah. Tetapi membela dalam ertikata bersimpati dan empati terhadap krisis yang mereka alami.
Juga dengan memberi jalan penyelesaian ataupun panduan-panduan untuk mereka bertindak dalam menyelesaikan sebarang persengketaan peribadi tersebut. Jangan sekali-kali kita menempelak, menyindir atau membiarkan mereka keseorangan. Buktikan, kita sentiasa di sisi isteri ketika dia menghadapi “serangan” orang lain. Walaupun ada kalanya (menerusi penilaian kita) dia yang bersalah… jangan dipersalahkan, cuma perbetulkan sahaja!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...