Apabila kita sendiri di uji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingati manusia.......

Saturday, February 19, 2011

BAHAYA BERANGAN-ANGAN PANJANG

       Setiap dari kita selalu berangan-angan. Kalau kita miskin, kita akan berangan-angan hendak menjadi kaya. Kalau  kita jahil, kita berangan-angan hendak menjadi orang bijak. Kalau kita orang bawahan, sudah tentu kita akan berangan-angan hendak menjadi orang ternama. Begitulah selalunya.....



      Angan-angan ini sesuatu yang menjelma dari hati kita yang semua itu adalah keinginan manusia. Memang benar, tidak dinafikan kadang-kadang angan-angan kita terlalu panjang sehingga melewati batas-batas syariat. Sehingga terlupa kehidupan akhirat dan kewajipan agama. Kepada orang yang sering berangan-angan panjang seperti ingin hidup lama adalah tercela dalam agama Islam. Ini adalah sifat yang didorong oleh hati yang cinta kepada dunia. Perlu diingat, angan-angan ini berbeza dengan cita-cita. Sungguhpun dalam penggunaannya kadang-kadang ia bermaksud sama. Sebenarnya, angan-angan lebih merupakan satu keinginan yang tidak kesampaian. Lain pula dengan cita-cita kerana cita-cita berkemungkinan boleh dicapai atau dihasilkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

      Angan-angan panjang ini tidak perlu kita miliki malah ajaran agama Islam menyifatkannya adalah amalan yang dikeji. Rasulullah SAW jga telah mengingatkan kita dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:

" Sesungguhnya hal-hal yang paling aku takutkan mengena kamu semua ialah dua perkara yakni mengikut hawa nafsu dan panjang angan-angan. Mengikut hawa nafsu itu dapat menutup dari kebenaran dan panjang angan-angan itu menyebabkan cinta kepada dunia."

                                  (Hadis riwayat Ibnu Abiddusya)

         Boleh dikatakan ramai umat Islam menghidapi penyakit ini. Buktinya, bila hari tua barulah hendak beramal dan bertaubat. Kita dapat lihat di masjid dan di surau sama ada majlis ilmu atau sembahyang jemaah adalah ramai orang-orang tua. kerana mereka tahu ajal hampir sampai. Tetapi, ketika muda, segala amal ditinggalkan dan diabaikan keranan angan-angannya panjang. Mereka merasakan hidup sampai ke tua. Hakikatnya, ketika usia muda, tenaga masih kuat telah ramai yang menemui ajal. Mengapa ini tidak menjadi renungan kita bersama supaya angan-angan kita menjadi pendek?

        Kita telah sedia maklum betapa azab yang akan menimpa apabila hati kita yang telah cenderung kepada dunia. Kita akan langgar syariat Allah s.w.t. Segala usaha dan amalan tidak lagi didasarkan kepada syariat tetapi logik semata-mata. Oleh yang demikian, hendaklah kita selalu mengingati mati kerana hanya itu sahaja penawar bagi diri orang-orang yang mahu berfikir.

       Dengan jalan demikian, kita akan terhindar dari sifat yang tercela itu dan wujudlah dalam diri kita suatu kebenaran untuk beramal, berjuang dan berkorban ketika ajal belum datang menjemput. Menyegeralah kita dalam kebaikan kepada Allah s.w.t dan sesama manusia dalam meminta kehidupan di akhirat.


1 comment:

  1. Angan2 ni menyebabkan otak rosak n lupa pda agama, asyik nk berangan je..kdg2 ats pokok pun bleh brangan.. menakutkan!!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...